Barisan Nasional Kekalkan Kerusi di DUN Ketari 

Oleh Baba Haizal Baba Zain 

Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Ketari apabila calonnya Yum Ah Ha memperolehi majoriti 2,204 undi pada pilihan raya kecil kawasan itu.

Yum, 51, seorang peguam dan juga ketua cawangan parti Gerakan Ketari memperolehi 7,153 undi menewaskan calon DAP, Choong Siew Onn, 34, yang hanya memperolehi 4,949 undi.

Peratusan keluar mengundi ialah sebanyak 71.48 atau sejumlah 12,251 daripada 17,144 pengundi berdaftar yang layak mengundi.

Kemenangan calon BN dengan majoriti 2,204 undi itu adalah lebih besar berbanding majoriti yang diperolehi semasa pilihan raya umum lepas.

Pada pilihan raya umum lepas, mendiang Datuk Loke Koon Kam menewaskan Choong dengan majoriti hanya 231 undi.

Peratusan keluar mengundi bagaimanapun menurun berbanding pilihan raya umum lepas iaitu 71.48 berbanding 72.2 peratus pada tahun 1999, manakala undi rosak ialah sebanyak 149.

Keputusan pilihan raya kecil itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Ketari Muhammad Safian Ismail di dewan Majlis Daerah Bentong pukul 9.10 malam.

Turut hadir meraikan kemenangan itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tiba pukul 8.50 malam bersama-sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Kemenangan BN ini juga mengulangi kejayaan cemerlang yang dicapai pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Indera Kayangan Januari lepas.

Kecuali di Lunas, BN ternyata menyapu bersih kesemua kerusi dewan undangan negeri pada pilihan raya kecil yang dipertandingkan iaitu di Sanggang (Pahang), Likas (Sabah), Teluk Kemang (Negeri Sembilan), Indera Kayangan (Perlis) serta turut memenangi pilihan raya negeri Sarawak.

Proses pengundian pilihan raya kecil Ketari yang bermula 8 pagi hingga 5.30 petang berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.